PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat 40 buah syarikat yang dipercayai terlibat dalam rasuah projek perolehan Tentera Darat (TD).
Menurut sumber, ketika ini, siasatan memfokuskan kepada aliran wang yang dipercayai masuk ke dalam akaun milik seorang pegawai kanan TD yang kini disiasat sebagai suspek kes rasuah.
Sumber berkata, pada Sabtu lalu, SPRM menjalankan operasi penggeledahan di Pejabat TD, Kementerian Pertahanan (Mindef) dan kediaman rasmi suspek bermula pukul 5 petang hingga 12 tengah malam.
“Tiada sitaan wang tunai, namun SPRM menyita beberapa barangan mewah termasuk jam tangan dan beg tangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan,” katanya.
Menurut sumber, suspek sepatutnya hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya semalam, namun dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Setakat ini, suspek masih menerima rawatan dan belum dapat dirakam keterangan. Setakat ini SPRM merakam keterangan lima pemilik syarikat, dan jumlah keseluruhan saksi yang dipanggil bagi membantu siasatan seramai 10 orang,” katanya.
SPRM dijangka memperluaskan siasatan termasuk aspek aliran kewangan, perolehan projek dan kaitan individu serta syarikat terlibat, selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Akta SPRM 2009.
Pada Selasa lalu, pegawai SPRM pergi ke Mindef dengan tumpuan siasatan dilakukan terhadap projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka dan perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE














