KANGAR – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis menyerahkan notis pemakluman rasmi kekosongan luar jangka bagi tiga kerusi DUN kepada Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini.
Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan berkata, notis berkenaan diserahkan kepada SPR di Pejabat SPR Perlis kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.
“Notis itu memaklumkan secara rasmi berlakunya kekosongan luar jangka bagi tiga kerusi DUN berkenaan untuk pertimbangan pihak SPR,” katanya.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan pihak DUN Perlis turut menyertakan alasan keperluan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan di ketiga-tiga kawasan tersebut.
“Saya menyerahkan sepenuhnya perkara ini kepada pertimbangan pihak SPR,” katanya ringkas.
Terdahulu, Rus’sele mengumumkan tiga kerusi DUN Perlis berlaku kekosongan luar jangka susulan tindakan Pas menghentikan keahlian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tersebut.
Keputusan itu dibuat selepas ketiga-tiga ADUN berkenaan menyatakan hilang sokongan terhadap bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli. Tiga ADUN terlibat ialah ADUN Chuping, Saad Seman; ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail; dan ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.














