fbpx
Erra Fazira dan suami tercinta, Mr. E dalam majlis resepsi yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Primadona sudah, giliran siapa pula?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KALENDER 2025 melakar banyak kisah suka duka, pahit manis dan kontroversi anak seni yang menjadi bualan ramai.

Memandangkan dua hari lagi tirai 2025 bakal berlabuh, mari kita fokus kepada perkara yang manis sebagai penutup bicara pentas seni dengan harapan aura positif itu menjadi pembuka kisah yang baik untuk diari 2026.

Sabtu lalu, ramai tersenyum menyaksikan aksi ‘comel’ primadona jelita Erra Fazira dan suami tercinta, Ezwan Zain atau Mr. E dalam majlis resepsi yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Pasangan yang diijabkabulkan pada 12 Disember itu seakan memberi suntikan tenaga positif buat semua yang menyaksikan hari bersejarah mereka. Kisah Erra dan Ezwan bukan hanya cinta tetapi tentang manisnya sebuah kesabaran.

Dalam media sosial, rata-rata meninggalkan komen gembira melihat kebahagiaan dikecapi Erra dan pasangan. Bahkan ramai terharu dan memuji sikap Ezwan yang meratukan suri hidupnya itu.

Antara lain yang mencuri perhatian penulis adalah komen segelintir ibu tunggal yang percaya mereka masih ada harapan untuk mengecapi kebahagiaan seperti Erra yang kembali bergelar isteri selepas 11 tahun solo. Bagi penulis, positiviti inilah yang patut ada dalam hati semua orang khususnya mereka yang pernah mengalami kekecewaan.

Tidak ketinggalan yang masih bujang juga rancak meninggalkan komen ‘nakal’ dengan bertanyakan mana jodoh mereka. Ramai juga menzahirkan rasa lega Erra berada di tangan lelaki yang tepat dan berharap primadona kesayangan negara itu bahagia hingga akhir hayat.

Erra sudah, moga 2026 menyaksikan ramai lagi selebriti mengikut jejak langkahnya melakar takdir terindah. Antara yang paling dinanti ramai semestinya Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.

Kerap menyajikan momen-momen ‘bersemut’, penyokong tegar berharap pasangan yang diberi jolokan BASS itu segera naik pelamin. Apatah lagi sebelum ini timbul desas-desus pasangan itu bertunang dan sudah beli cincin kahwin, namun tiada sebarang pengesahan daripada mereka berdua.

Bagaimanapun, semalam tular di Threads jawapan Syed Saddiq mengenai hari bahagianya dan Bella apabila ditanya media. Katanya, perihal peribadi seperti itu (pernikahan) sewajarnya dibincangkan antara keluarga dan tidak perlu dimaklumkan kepada umum. Kata-kata itu dilihat sebagai pertanda keseriusan hubungan BASS.

Selain itu, ramai berharap si cantik Nora Danish melangkah ke jenjang pelamin dengan teman istimewanya, Mickey Ayo. Hubungan mesra pasangan itu bukan lagi rahsia apabila kedua-dua mereka makin terbuka berkongsi aktiviti mereka dalam media sosial.

Meski sering memberi jawapan ‘selamat’ apabila ditanya media, rata-rata mendoakan Nora segera naik pelamin dan hidup bahagia di samping jodoh kiriman Tuhan buat dirinya.

Sebelum melangkah ke tahun baharu, doa dititipkan buat Zara Zya yang menghidap kanser ginjal tahap satu. Semoga dipermudahkan urusan rawatan dan diberikan kesembuhan sepenuhnya. Begitu juga buat semua barisan penggiat seni lain yang turut diuji dengan masalah kesihatan. Sesungguhnya kalian tidak bersendirian, ramai yang mendoakan.

Selamat tahun baharu buat semua, moga 2026 bawa rahmat, rezeki berganda dan 1,001 kemanisan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN