SEBERANG PERAI – Dua lelaki tempatan yang terlibat dalam pertengkaran di Jalan Permatang Nibong, Bukit Mertajam sehingga tular di media sosial direman empat hari bermula hari ini hingga 31 Disember ini.
Perintah reman ke atas kedua-dua suspek itu dibenarkan Majistret Nik Muhammad Shahrul Aiman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Kedua-dua suspek tiba di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam kira-kira pukul 9.40 pagi dengan diiringi anggota polis. Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 37 saat memaparkan pertengkaran dua pemandu di tepi jalan sehingga tular dalam media sosial pada 25 Disember lalu.
Difahamkan, suspek berusia 44 tahun memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora, manakala seorang lagi suspek berusia 28 tahun memandu kereta Perodua Myvi.
Insiden itu dipercayai berpunca apabila pemandu Perodua Myvi yang bekerja sebagai juruteknik didakwa membuat pusingan U secara mengejut sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati pemandu MPV Proton Exora yang merupakan kakitangan swasta. -KOSMO! ONLINE














