PETALING JAYA – Seorang lelaki meluahkan rasa kesal selepas tersekat dalam kesesakan trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Selangor, semalam.
Menerusi hantaran pengguna TikTok @RidzhamYahya, memaparkan keadaan trafik sesak sekali gus menyebabkan perjalanan mengambil masa lebih 8 jam ke Shah Alam, Selangor.
“Gerak dari Johor Bahru pukul 2 petang. Pukul 7 malam baru sampai Jasin, Melaka. Nak ke Shah Alam, jangka masa tiba pukul 10 malam nanti,” katanya.
Video berdurasi 16 saat itu turut memaparkan keadaan trafik sesak dan perlahan di kedua-dua arah sepanjang perjalanan dipercayai akibat cuti panjang.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan ramai turut mengambil cuti sakit tanpa sebab untuk menyambung cuti selepas hari Krismas pada hari Khamis.
Menjengah ke ruang komen, ramai berkongsi pengalaman sama apabila tersekat dalam kesesakan trafik sehingga tertangguh perjalanan.
“Saya gerak dari Desaru, Johor, pukul 1 tengah hari tadi (semalam). Sampai Melaka pukul 8 malam,” komen @Nazipasbar.
“Niat nak pergi majlis perkahwinan kawan di Singapura. Tapi sampai Johor Bahru pun pukul 4 petang, memang batalkan saja perjalanan,” komen @AhmadAfis.
“Biasalah hujung minggu dan cuti sekolah. Semalam saya di Melaka nak pergi Bandar Melaka, selalunya ambil masa 25 minit sahaja, tapi semalam lebih daripada 1 jam. Menyirap betul,” komen @Abgyen729. –KOSMO! ONLINE
@ridzhamyahyaGerak dari jb 2:00pm jam 7 pm baru smpai Jasin 😅😅😅














