PETALING JAYA – Rata-rata pengguna media sosial mempersoalkan sama ada ular yang berada di atas bumbung sebuah dewan perkahwinan terbuka adalah haiwan betul atau mainan semata-mata.
Ini selepas tular satu klip video memaparkan dua ekor ular berada di atas bumbung dewan tersebut ketika majlis pernikahan berlangsung.
Berdasarkan klip video yang tular itu, kelihatan ular-ular tersebut berada di atas kerangka bumbung dewan itu.
Bagaimanapun sewaktu klip video itu dirakam, tidak nampak pergerakan reptilia tersebut dan orang ramai jugak tidak panik meskipun melihat haiwan tersebut di atas bumbung.
Turut kelihatan haiwan tersebut seperti telah diikat pada kerangka besi itu.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna meninggalkan pelbagai komen termasuk mendakwa itu hanya lah ular mainan.
“Ular getah nie untuk halau burung-burung yang suka bertenggek kat situ dan berak,”komen Fatin Azis.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Mohd Sufi.
“Macam ular tipu je, langsung tak bergerak, siap nampak lidah merah, ular kalau dia tidur mana ada keluar lidah,”dakwanya.
“Walaupun ‘dummy’ tapi kalau tiba-tiba jatuh atas meja masa makan rasanya berselerak juga orang lari,”kata Syabil Haziq.-KOSMO! ONLINE














