BAGI Abdullahakmal Kamaruddin, aktiviti mendaki gunung bukan sekadar hobi semata-mata. Sebaliknya, sudah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup dalam membentuk jati diri, fizikal dan spiritual.
Segalanya bermula pada 2009 apabila jejaka berusia 35 tahun itu pertama kali melibatkan diri dengan aktiviti mendaki atau hiking kerana ingin menikmati keindahan alam semula jadi.
Bagaimanapun, pengalaman menyaksikan hamparan taburan bintang dan matahari terbit di puncak Gunung Yong Yap di Banjaran Titiwangsa telah mengubah segalanya.
“Sejak itu saya mula jatuh cinta dengan aktiviti mendaki dan sekarang sudah menjadi sebagai rutin sama ada sekali atau dua kali pada setiap hujung minggu.
“Jika ada acara larian denai juga saya akan sertai kerana selalunya aktiviti sebegitu memperuntukkan masa yang lama di dalam hutan,” katanya kepada CitaRasa.
Persekitaran hutan dan gunung bukanlah sekadar lokasi aktiviti fizikal buat Abdullahakmal kerana baginya suasana begitu boleh dijadikan sebagai ruang untuk melarikan diri daripada kesibukan rutin harian dan mendapatkan ketenangan.
Tambahan, lebih sedekad melakukan aktiviti itu membuatkan Abdullahakmal sudah berpeluang menjejakkan kaki ke Kem Pangkalan Annapurna (ABC), Nepal pada 2018.
Menjadi pengalaman berharga yang tidak dapat dilupakan dalam hidup, Abdullahakmal bersama kumpulan BNF Adventure (Bunga & Friends Adventure) mengembara ke ABC dengan melalui laluan Poon Hills.
Seramai 14 individu mengembara bersama-sama, Abdullahakmal memberitahu, usaha untuk mendapatkan makanan halal dan bersih menjadi cabaran utama sepanjang pendakian itu selain jurang bahasa antara warga setempat.

Disebabkan itu, mereka hanya makan hidangan berasaskan sayuran sepanjang tempoh 10 hari pendakian.
“Selain peluang mendaki gunung, keseronokan di sini ialah apabila melihat barangan perkhemahan ‘outdoor’ banyak terjual di Thamel, Kathmandu.
“Cuaca sejuk yang mencecah -17 darjah Celsius membuatkan saya menggigil. Walaupun sudah mengenakan pakaian tiga lapis dan duduk di dalam beg tidur yang menampung suhu -20 darjah Celsius tetapi rasa sejuk itu masih dapat dirasai.
“Pemandangan Puncak Machhapuchhare menjadi salah satu pemandangan paling ikonik dalam perjalanan ke ABC ” katanya.
Menjadi momen pendakian yang tidak dapat dilupakan, Abdullahakmal bagaimanapun melihat aktiviti mendaki bukan sekadar pencapaian fizikal sahaja tetapi juga menjadi medium untuk menyaksikan kebesaran ciptaan Allah.
Di samping mencabar diri melakukan sesuatu yang dianggap sukar bagi segelintir orang, hal itu juga memberi kesempatan kepada mencipta kenangan indah bersama rakan-rakan.
“Walaupun lokasi pendakian tersohor seperti gunung dalam kategori G7 sememangnya menawarkan cabaran tersendiri, saya tidak semata-mata melihat nama atau populariti sesuatu gunung.
“Bagi saya setiap langkah mendaki adalah pelajaran tentang kesabaran, keinsafan dan kekuatan diri kerana gunung bukan sekadar puncak untuk ditawan tetapi cermin kehidupan yang mengajar kita mengenal diri dan Sang Pencipta,” katanya.
Sepanjang aktif dengan aktiviti pendakian, antara puncak gunung yang telah ditawan oleh Abdullahakmal ialah Gunung Tahan (Pahang), Gunung Tok Nenek (Kelantan), Gunung Kinabalu (Sabah) dan Gunung Berembun (Negeri Sembilan).














