PETALING JAYA – Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain akan memangku tugas sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) berkuat kuasa serta merta.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia selaras dengan persaraan PAT, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar berikutan mencapai umur persaraan wajib.
“Kementerian Pertahanan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat, kepimpinan dan jasa Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar sepanjang menerajui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta mendoakan kelancaran urusan persaraan beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Mohd. Nizam yang menjawat sebagai Penolong Ketua Staf Perkhidmatan Kakitangan, dilantik sebagai PAT ke-23 pada 31 Januari lalu.
Mohd. Nizam merupakan individu kedua yang bukan dalam kalangan Panglima Tentera Darat, Laut dan Udara sedia ada, dilantik ke jawatan tersebut, selepas Allahyarham Jeneral Tun Ibrahim Ismail.
Pelantikan Mohd. Nizam adalah bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman yang bersara wajib selepas berkhidmat hampir empat dekad bersama ATM. – KOSMO! ONLINE














