PETALING JAYA – Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan akan bercuti bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pegawai tinggi itu akan bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan selesai.
“Langkah pentadbiran ini diambil bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar tanpa sebarang konflik kepentingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil aduan dan merakam keterangan aktivis Che’gu Bad mengenai perincian maklumat yang beliau perolehi di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, Selasa lalu.
Pegawai SPRM juga hadir ke Kementerian Pertahanan (Mindef) dan tumpuan terarah kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.
Siasatan awal mendapati bermula 2023 sehingga 2025 perolehan TD melebihi RM500,000 adalah sebanyak 158 projek, manakala perolehan di bawah RM500,000 berjumlah 4,521 projek.
Seramai tiga individu telah dipanggil untuk membantu siasatan dan semakan SPRM mendapati beberapa buah syarikat kerap memperoleh projek Tentera Darat dengan nilai yang tinggi dan agak meragukan.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE














