PONTIAN – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun merayu orang ramai menjejaki ibu kandungnya yang menghilang sejak dia masih bayi sekali gus menyebabkan hidupnya terumbang-ambing tanpa kad pengenalan dan peluang bersekolah.
Muhammad Al Amin ditinggalkan kepada sebuah keluarga di Kampung Parit Ghani, Simpang Renggam, Kluang ketika berusia hanya dua bulan.
Ibu angkatnya, Mar Siti Khamis, 58, berkata, remaja itu tidak pernah ke sekolah kerana ketiadaan dokuman lengkap selain terpaksa bergantung kepada surat daftar kelahiran bagi menguruskan urusan asas kehidupannya.
Katanya, paling menyedihkan apabila Muhammad Al Amin pernah menyuarakan hasrat untuk berjumpa dan memeluk ibu walaupun sekali.
“Dia dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada 25 Ogos 2009 sebelum diserahkan oleh ibu kandungnya dikenali sebagai Ida Ratna Sari dipercayai berketurunan Indonesia kerana mahu mencari pekerjaan kerana kesempitan hidup.
“Selepas itu dia terus menghilangkan diri tanpa sebarang khabar berita. Muhammad Al Amin sering bertanya siapa ibunya dan kenapa dia tidak bersekolah seperti rakan sebaya. Setiap kali ditanya, hati saya hancur kerana tidak tahu bagaimana hendak menjawab,” katanya.
Menurut Mar Siti, dia menjaga remaja itu selepas penjaga asal, Sariah Marjonet, 62, uzur akibat sakit tua, namun proses pengangkatan secara sah tidak dapat dilakukan tanpa kehadiran ibu kandung.
Ujarnya, usaha menjejaki Ida Ratna Sari amat penting bagi membolehkan urusan pengangkatan diluluskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sekali gus membolehkan Al Amin memiliki kad pengenalan dan menjalani kehidupan seperti remaja lain.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Ida Ratna Sari diminta menghubungi Mar Siti Khamis di talian 019-724 8967.














