GUA MUSANG – Rindu seorang warga emas terhadap anak lelakinya yang hilang di Sungai Nenggiri sejak sembilan tahun lalu masih belum berpenghujung.
Che Minah Yaakob, 74, dari Kampung Prak di sini berkata, tahun ini merupakan tahun kesembilan dia menanti kepulangan anak bongsunya daripada lapan beradik, Adnan Che Soh yang hilang dihanyutkan arus Sungai Nenggiri.
Menurutnya, sehingga kini jasad anaknya masih belum ditemukan.
“Kehilangannya sangat dirasai kerana dia anak bongsu yang sentiasa bersama saya dan arwah suami sebelum ini.
“Tiada hari saya lupa pada Adnan. Kenangan bersama dialah yang menjadi pengubat kerinduan walaupun sampai hari ini saya masih menunggu kepulangannya,” katanya.
Che Minah berkata, dia sering menitiskan air mata apabila mengenang kenangan bersama anaknya, namun reda menerima ketentuan Tuhan.
Katanya, setiap kali musim perayaan, Adnan merupakan individu paling rajin membantu keluarga menyiapkan juadah.
“Adnan pergi tanpa jejak dan khabar berita selepas dihanyutkan arus deras Sungai Nenggiri. Kalau ada kubur seperti orang lain, kami boleh menziarahinya. Namun kini hanya doa yang mampu kami kirimkan,” katanya.
Mengimbas kejadian kira-kira pukul 9 pagi pada 23 Januari 2017, Adnan yang ketika itu berusia 29 tahun gagal menyelamatkan diri selepas motosikal ditunggang terjatuh dari jambatan sementara di Kampung Pulau Setelu.
Mangsa yang turut menghidap penyakit sawan dipercayai dihanyutkan arus deras sungai tersebut. Selepas kejadian, hanya motosikal ditemukan tersangkut pada besi jambatan, manakala mangsa gagal ditemukan hingga kini.















