PETALING JAYA – Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) mengeluarkan sebanyak 710 saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi khas sempena sambutan Krismas yang dijalankan serentak di seluruh negeri ini semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi melibatkan seramai 222 petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 20 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Hasil penguatkuasaan yang dijalankan, sebanyak 710 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan selain menyita 47 buah motosikal dan sebuah kereta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shazeli berkata, pihaknya turut melakukan tangkapan atas pelbagai kesalahan membabitkan enam individu di Petaling Jaya, Kajang (2) dan satu masing-masing di Subang Jaya dan Gombak.
“Mereka disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983. Dua lagi tangkapan dibuat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, seorang di bawah Seksyen 45(A) APJ 1987 manakala seorang lagi mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” ujarnya.
Secara keseluruhannya, operasi berjalan lancar dan berjaya mencapai objektif dalam meningkatkan pematuhan undang-undang serta memberikan rasa selamat kepada masyarakat. – KOSMO! ONLINE














