PETALING JAYA – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama negara dilaporkan meningkat dan bergerak perlahan petang ini susulan pergerakan pengguna jalan raya sempena cuti Hari Krismas.
Menurut kemas kini Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) setakat pukul 3.32 petang, trafik secara keseluruhannya masih lancar di lebuh raya utama sekitar Lembah Klang, namun aliran trafik tinggi dikesan di laluan menghala ke utara, selatan dan timur Semenanjung.
Di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, kesesakan dilaporkan dari Rawang ke Bukit Beruntung, Sungkai ke Bidor, Tapah ke Gopeng, Bandar Baharu ke Jawi, Permatang Pauh ke Sungai Dua serta Bertam ke Sungai Petani.
Sementara itu, di Lebuh Raya Utara-Selatan, trafik perlahan dikesan arah utara dari Pandan ke Persimpangan Dato’ Onn serta selepas Plaza Tol Sungai Besi ke Taman Teknologi Bukit Jalil.
Di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, trafik bergerak perlahan dari Plaza Tol Gombak ke Hentian Sebelah Gombak di kedua-dua arah, selain hujan dilaporkan berlaku sekitar kawasan Gombak.
Bagi arah selatan pula, aliran trafik tinggi dilaporkan dari Nilai ke Bandar Ainsdale serta Pedas Linggi ke Simpang Ampat susulan kemalangan di Kilometer (KM) 227.6 yang menghalang lorong kecemasan.
Kesesakan turut dilaporkan di kawasan R&R Ayer Keroh ke Ayer Keroh serta Kempas ke susur Lebuhraya Pasir Gudang di KM 205.6 akibat insiden kemalangan. – KOSMO! ONLINE














