ANKARA – Pihak berkuasa Turkiye menemukan perakam suara dan kotak hitam dari sebuah jet peribadi awal hari ini yang terhempas sejurus ia berlepas dari ibu kota, Ankara, mengorbankan ketua angkatan tentera Libya dan empat pembantunya.
Pesawat Falcon 50 meminta untuk melakukan pendaratan cemas kerana kegagalan elektrik beberapa minit selepas ia berlepas sebelum terputus hubungan, kata pegawai Turkiye. Ia ketika itu dalam penerbangan pulang ke Tripoli.
Bangkai pesawat itu ditemukan oleh anggota keselamatan Turkiye di daerah Haymana berhampiran Ankara.
Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya berkata, perakam suara dan perakam data penerbangan (kotak hitam) telah ditemukan dari pesawat itu.
“Proses pemeriksaan dan penilaian peranti ini telah dimulakan oleh pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya kepada pemberita di lokasi nahas.
Leftenan Jeneral Mohammed al-Haddad dan empat pembantu lain maut ketika kembali ke Tripoli selepas mengadakan rundingan di Ankara dengan pegawai tentera Turkiye.
Pesawat itu membawa lapan penumpang termasuk tiga anak kapal yang turut terkorban.
Ali berkata, mayat-mayat masih berada di kawasan bangkai pesawat sambil menambah, delegasi Libya yang terdiri daripada 22 orang telah tiba di Ankara.
Mohammed menjadi ketua kakitangan am tentera sejak Ogos 2020 dan dilantik oleh perdana menteri ketika itu, Fayez al-Sarraj. – AFP














