PETALING JAYA – “Selamat hari ulang tahun kelahiran buatmu, Tengku Iskhan Shah. Persahabatan kita bukanlah sebentar, tetapi lebih daripada 20 tahun.”
Demikian ucapan manis aktres, Nur Fazura kepada teman seperjuangannya, pelakon Que Haidar yang meraikan ulang tahun ke-47, hari ini.
Mengimbau perkenalkan mereka sekitar dua dekad lalu, pemilik nama lengkap Nur Fazura Sharifuddin, 42, itu berkata, mereka sudah lama kenal sebelum berjumpa semula di arena seni.
“Kini kita dipertemukan kembali setelah 16 tahun dalam fasa yang jauh berbeza dengan pelbagai pengalaman yang mematangkan kita,” katanya dalam hantaran Instagram.
Selain foto solo Que, Fazura turut memuat naik babak mereka bergandingan dalam filem romantik, Selamat Pagi Cinta yang ditayangkan pada 2008.
Menerusi perkongsian tersebut, dia turut menzahirkan doa agar sahabatnya itu terus kental dengan peribadi baik selain sentiasa dalam lindungan Allah.
“Doa saya, semoga awak sentiasa berada dalam lindungan, petunjuk dan rahmat Allah SWT, istiqamah dalam setiap ibadah serta terus kekal menjadi insan yang tinggi empati dan budi pekerti.
“47 tahun yang cukup istimewa dan bermakna, pastinya penuh suka dan duka, namun sering tidak gemar diungkapkan kerana awak sentiasa memilih melihat terangnya cahaya matahari berbanding gelapnya hujan,” katanya.
Wanita berstatus ibu tunggal anak satu itu tidak ketinggalan meluahkan penghargaan atas segala kebaikan Que terhadap dirinya.
“Terima kasih kerana menjadi insan yang sentiasa prihatin, sabar dan mahu melihat saya tersenyum dalam apa jua keadaan.
“Selamat ulang tahun, Que Haidar. Semoga ini menjadi satu permulaan yang baik untuk hidup awak,” ucapnya.
Hantaran itu meraih maklum balas positif netizen yang mendoakan persahabatan kedua-kedua selebriti popular terbabit terus berkekalan.
Terdahulu, keakraban Fazura dan duda sensasi itu menjadi bualan hangat peminat malah ramai yang cuba menjodohkan mereka tetapi masing-masing selesa bergelar rakan baik. – KOSMO! ONLINE














