PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Lee Zii Jia dijangka kembali daripada rehat panjang menjelang Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 6 hingga 11 Januari nanti.
Kemungkinan itu diperkuatkan lagi menerusi kemas kini dibuat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menyaksikan Zii Jia yang mendapat perlindungan ranking akan turun sebagai pilihan ketujuh pada Jelajah Dunia Super 1000 itu.
Perkembangan terbaharu itu disambut baik legenda badminton tanah air, Ong Ewe Hock yang menganggap kepulangan semula Zii Jia sebagai satu perkara positif di kala pemain-pemain lain terus bergelut dengan prestasi tidak menentu.
Justeru, beliau berharap bekas juara Asia dan All England itu akan menampilkan prestasi terbaik apabila turun beraksi kerana sudah lama berehat daripada aksi kompetitif selain bermain di laman sendiri.
“Ini memang satu perkara positif kerana dia pun sudah lama berehat akibat masalah kecederaan. Sudah tentu ia memberi kelegaan dan saya harap dia dapat mempamerkan aksi terbaik di Terbuka Malaysia nanti.
“Tambahan pula dia akan bermain di laman sendiri. Oleh itu, gunakan peluang ini untuk mendapatkan semula sentuhan terbaik. Kita sebagai peminat, gembira apabila bekas pemain No. 1 negara kembali,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sebelum ini, Zii Jia yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2020 terpaksa berehat panjang pada Mac lalu bagi memberi perhatian kepada kecederaan buku lali serta belakang.
Bagaimanapun, dia membuat kepulangan semula dengan menyertai Kejohanan Badminton Dunia Ogos lalu diikuti Terbuka Hong Kong dan China Masters pada September sebelum mengambil keputusan berehat hingga akhir musim.
Sementara itu, Ewe Hock juga menganggap kepulangan semula Zii Jia ke pentas kompetitif tepat pada masanya di kala pasukan negara dalam persiapan bagi menghadapi saingan Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark April depan.














