ALOR SETAR – Seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah diberkas bersama pelbagai jenis bahan khayal itu yang dianggarkan bernilai RM135,900 di sebuah hotel di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya melakukan serbuan di bilik hotel dan menahan suspek berusia dalam lingkungan 50-an.
“Kita merampas pelbagai jenis dadah iaitu heroin, syabu dan pil erimin 5 yang dianggarkan bernilai RM135,900. Dadah itu boleh dibekalkan kepada kira-kira 6,000 penagih sekiranya terlepas ke pasaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, turut dirampas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV milik suspek bagi membantu siasatan.
Ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki tempatan itu positif menthamphetamine dan amphetamine.
“Semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod dadah dan lapan rekod jenayah,” katanya.
Suspek direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama. – KOSMO! ONLINE














