BACHOK – Suasana penuh emosi berlangsung di Dewan Abu Bakar Al-Siddiq Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Bachok di sini hari ini apabila seramai 124 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bersujud syukur selepas tamat menjawab kertas peperiksaan Bahasa Arab.
Ibu bapa yang menunggu di luar dewan berpeluang menyaksikan anak masing-masing melakukan sujud syukur yang diketuai oleh Ketua Pengawas SMKA Tok Bachok, Ahmad Ameerul Ameen Azaha, 17, secara tertib dan beradab sebagai tanda kesyukuran selepas menjawab kertas terakhir pada pukul 11 pagi tadi.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Datuk Azaha Berahim berkata, program yang julung kali dianjurkan itu diharapkan menjadi model terbaik pengakhiran alam persekolahan yang diraikan dengan penuh kesantunan dan nilai murni.
“Kita mahu anak-anak menamatkan persekolahan dengan adab tinggi, menghormati guru dan sekolah tanpa budaya negatif seperti menconteng baju atau bertukar pakaian yang secara keterlaluan meraikan kegembiraan.
“Program itu disusuli dengan Majlis Santuni Guru SPM SMK Tok Bachok yang dicetuskan oleh PIBG sebagai tanda penghargaan kepada guru-guru yang bertungkus-lumus membimbing calon sejak awal tahun termasuk sanggup berkorban masa siang dan malam.
“Pihak PIBG mewakili ibu bapa menyediakan hadiah penghargaan serta jamuan nasi kerabu, manakala kuih-muih dan buah-buahan dibawa oleh ibu bapa secara ‘potluck’ sekali gus mengeratkan hubungan kekeluargaan sesama komuniti sekolah,” katanya ketika ditemui di SMKA Tok Bachok di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE














