KUALA LUMPUR – Perjuangan skuad regu lelaki negara dalam saingan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 berakhir penuh kekecewaan apabila tewas straight set 9-15, 10-15 kepada Myanmar di Stadium Titiwangsa, hari ini.
Malaysia yang menurunkan Mohammad Syahir Mohd. Rosdi (tekong), Mohamad Azlan Alias (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) gagal menemui rentak permainan sebenar apabila tunduk 9-15 pada set pertama.
Myanmar yang mempertaruhkan tekong berpengalaman, Thant Zin Tun bersama perejam, Aung Aung dan pengumpan Ye Htet, tampil lebih kemas dengan corak permainan pantas selain beberapa libasan tajam yang sukar dipatahkan pemain negara.
Tekanan berterusan daripada lawan menyaksikan skuad negara bergelut untuk bangkit pada set kedua sebelum jurulatih membuat pertukaran dengan memasukkan Muhammad Haziq Hairul Nizam dengan mengeluarkan Syahir Rosdi di pertengahan perlawanan bagi mengubah momentum permainan.

Namun, percaturan itu dilihat terlambat apabila Myanmar terus menguasai gelanggang untuk mendahului 10-2 sebelum menoktahkan kemenangan 15-10 sekali gus mengesahkan kemaraan mereka ke peringkat seterusnya.
Kekalahan itu menyaksikan impian trio negara untuk mempertahankan rekod kecemerlangan pada edisi lalu dan juga kemenangan di Sukan SEA Thailand 2025 tidak kesampaian.
Lebih mengecewakan, sasaran tiga final seperti diharapkan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) turut tidak berjaya apabila hanya skuad kuadran melangkah ke final.
Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun berkata, beliau terima dengan hati terbuka kekalahan kepada Myanmar berikutan pemain tidak bermain seperti kebiasaan.
“Ia memberikan satu kelebihan kepada Myanmar apabila tatkala mereka mempamerkan serangan dan pertahanan lebih ampuh berbanding dengan pasukan Malaysia.
“Kalau kita tengok dari segi pungutan mata daripada kedua-dua pasukan, memang jelas memihak kepada pasukan Myanmar melalui servis dan kita pula membuang servis selepas (Syahir) melakukan kesilapan,” katanya.
Sementara itu, Thailand menepati ramalan mara ke pentas final selepas bangkit mengatasi pasukan Korea Selatan dengan keputusan 2-1 (11-15, 15-11, 15-7). -KOSMO! ONLINE














