MERSING – Mayat seorang lelaki yang hilang selepas bot dinaiki terbalik ketika memancing di Sungai Lenggor di sini bersama dua saudaranya berjaya ditemukan tengah malam tadi.
Mayat, Mohammad Putera Rizzurin Md. Noh, 36, yang juga pembantu khidmat am Sekolah Kebangsaan (SK) Nitar 2 berjaya dijumpai pukul 12.49 tengah malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Penolong Penguasa Bomba Abdul Muiz Mukhtar berkata, pihak bomba menerima panggilan khidmat khas mencari orang hilang di Loji Air di Felda Nitar 2 itu pada pukul 5.43 petang semalam dan 18 anggota dari BBP Mersing dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Kluang ke lokasi kejadian.
“Lokasi mangsa lemas dianggarkan kira-kira tujuh kilometer dari jeti loji air Felda Nitar 2. Dua orang lelaki dewasa yang juga saudara mangsa telah berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian itu. Operasi awal pencarian dilakukan secara water surface yang turut dibantu orang awam selain pencarian oleh anggota PPDA.
“Mangsa kemudian ditemui pada pukul 12.49 tengah malam oleh anggota PPDA yang membuat selaman di lokasi itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.-KOSMO! ONLINE














