ALOR SETAR – Polis mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian seorang lelaki yang ditemui lemas selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam sungai di Persiaran Taman Ampang Jajar, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, mangsa, Ooi Cheah Jhun, 28, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dikeluarkan dari kereta jenis Perodua Axia oleh pasukan bomba kira-kira pukul 2.50 petang.
Menurutnya, saksi di lokasi kejadian mendakwa melihat mangsa memandu laju ke arah sungai sehingga mengakibatkan penghadang tebing sungai runtuh.
“Pemeriksaan awal ke atas tubuh mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah seperti kesan luka dan sebagainya. Siasatan di lokasi juga mendapati kesan kerosakan pada tebing sungai yang menunjukkan impak perlanggaran berlaku pada kelajuan tinggi.
“Selain itu, terdapat kesan tayar kenderaan yang bergerak lurus di atas padang rumput tanpa sebarang tanda pemandu hilang kawalan sebelum melanggar penghadang sungai dan menjunam ke dalam sungai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, saksi kejadian turut memaklumkan melihat kereta mangsa berhenti seketika sebelum bergerak laju ke arah sungai.
“Namun, keadaan itu tidak menunjukkan sebarang unsur paksaan atau pergelutan. Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” ujarnya.
Tambahnya, mangsa dipercayai bersendirian ketika kejadian memandangkan ibu bapanya berada di Pulau Pinang. – KOSMO! ONLINE














