PETALING JAYA – Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN, hari ini menggesa Kemboja dan Thailand supaya menunjukkan tahap kawalan diri yang maksimum dan mengambil langkah-langkah segera bagi menghentikan permusuhan.
Menerusi kenyataan, Mesyuarat berkenaan juga menyeru kedua-dua negara memulihkan kepercayaan dan keyakinan bersama, serta kembali kepada dialog termasuk melalui mekanisme dua hala.
“Mesyuarat menyatakan kebimbangan serius terhadap ketegangan dan permusuhan yang berterusan, yang telah mengakibatkan korban jiwa yang besar, kerosakan kepada infrastruktur awam, serta pemindahan penduduk awam di kedua-dua belah sempadan.
“Mesyuarat menggesa kedua-dua pihak memastikan penduduk awam yang tinggal di kawasan sempadan terjejas dapat kembali, tanpa halangan dan dalam keadaan selamat ke kediaman dan mata pencarian mereka seperti sebelum tercetusnya permusuhan,” kata kenyataan itu, hari ini.
Semua pihak juga ditegaskan untuk menahan diri daripada ancaman atau penggunaan kekerasan, menyelesaikan pertikaian secara aman, serta menghormati sempadan antarabangsa dan undang-undang antarabangsa.
Menurut kenyataan itu, ia adalah selaras dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Piagam ASEAN dan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara.
“Menteri-Menteri Luar ASEAN mengalu-alukan perbincangan mengenai penyambungan semula gencatan senjata dan pemberhentian permusuhan.
“Jawatankuasa Sempadan Am akan bersidang pada 24 Disember ini bagi membincangkan pelaksanaan dan pengesahan gencatan senjata tersebut.
“Menteri-Menteri Luar ASEAN menyatakan harapan agar pengurangan ketegangan dapat dicapai secepat mungkin dan bersetuju untuk terus memantau dan mengambil perhatian serius terhadap perkara ini,” ujar kenyataan sama.
Terdahulu, Menteri-Menteri Luar ASEAN telah mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan situasi semasa antara Kemboja dan Thailand di ibu negara.
Malaysia telah memberi taklimat kepada Mesyuarat Khas itu mengenai usaha-usaha yang telah diambil oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam usaha menghentikan permusuhan kedua-dua pihak.
Mesyuarat turut menerima taklimat daripada Pasukan Pemerhati ASEAN sementara Kemboja dan Thailand juga telah berkongsi pendirian masing-masing. – KOSMO! ONLINE














