fbpx
Kontinjen Malaysia beraksi cemerlang pada SUkan SEA 2025 di Bangkok baru-baru ini.

Rai kejayaan jangan sampai terbuai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Tirai saingan sukan paling berprestij di Asia Tenggara, Sukan SEA edisi ke-33 di Thailand menutup tirainya secara rasmi malam Sabtu lalu.

Kontinjen negara secara hakikatnya berjaya mencipta pencapaian yang boleh dianggap luar biasa jika sandarannya diletakkan kepada 200 pingat yang disasarakan sebelum saingan berlangsung.

Membawa pulang 231 pingat dengan 57 emas, 57 perak dan 117 gangsa agak jauh melangkaui apa yang diharapkan, malah ia menjadi prestasi terbaik kontinjen negara untuk saingan yang berlangsung di luar Kuala Lumpur.

Kutipan pingat emas juga dilihat memberangsangkan apabila ia menjadi jumlah tertinggi berjaya dicapai sejak tiga edisi lalu selepas Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur yang seharusnya mampu untuk dibanggakan.

Kem olahraga negara yang sering berdepan kritikan sejak beberapa edisi saingan sebelum ini muncul skuad yang dianggap paling berjaya di Bangkok kali ini.

Secara tidak semena-mena, mereka berjaya membawa pulang lima emas, lima perak dan enam gangsa, bukan sekadar itu sahaja, beberapa rekod kebangsaan juga berjaya dipecahkan pada pentas kali ini.

Itu menjadi bukti bahawa olahraga di Malaysia ‘belum mati’, malah ia kembali berkembang untuk terus menjadi tonggak penting penyumbang pingat buat kontinjen negara pada temasya-temasya akan datang.

Selain itu, ramai juga terkejut dengan prestasi di gelanggang sepak takraw apabila menyambar dua emas menerusi acara regu dan paling manis menerusi acara berpasukan yang sudah 34 tahun kemarau.

Jika dua emas itu sudah dianggap manis, itu mungkin kesilapan kerana dua emas itu berjaya diraih di bumi Thailand ketika pasukan tuan rumah dianggap ‘gergasi’ paling ampuh dan sukar digugat dalam sukan berkenaan.

Kombinasi Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Raduan dan ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun benar-benar menakjubkan dan sebagai peminat kami mahu prestasi itu terus kekal dan bukan sekadar ‘one hit wonder’.

Di gelanggang Muay Thai juga hati para peminat sukan negara turut berbunga apabila menyaksikan tiga permata negara, Mikail Ghazali Zulfikar, Wassof Rumijan dan Angie Angie Yan Jia Chi yang buat kali pertama bertanding di Sukan SEA turut dikalungkan emas selepas ketiga-tiga mereka menumbangkan atlet tuan rumah.

Semua itu mungkin secebis kisah gembira yang boleh untuk pentas Sukan SEA kali ini, namun sebagai atlet ia bukanlah kemuncak kebahagian sebaliknya kerana peminat sedang menantikan magis berterusan yang mampu dihidangkan.

Bagi pemenang emas, anda perlu berani melangkah lebih jauh ke peringkat lebih tinggi dan jangan biarkan ia terhenti sekadar di Bangkok, manakala buat atlet muda, pengalaman ini seharusnya membantu anda lebih matang.

Musim sukan 2025 mungkin berakhir di Sukan SEA, namun jangan lalai dan alpa atau berpuas hati kerana 2026 menjanjikan cabaran yang lebih besar ketika Sukan Asia Aichi-Nagoya dan Sukan Komanwel Birmingham akan kembali menuntut prestasi sama ketika tanda aras baharu sudah diletakkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN