KUALA LUMPUR – Sebuah gudang tersorok yang dijadikan lokasi memproses dan membotolkan minuman keras palsu antara dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerusi Ops Suling di sekitar Lembah Klang, bulan lalu.
Operasi selama 13 hari bermula 11 Mei itu turut membawa kepada penahanan sebuah kontena berisi produk tembakau kunyah tak berkastam, dengan keseluruhan rampasan termasuk duti dan cukai dianggarkan lebih RM2.57 juta.
Menjalankan Tugas-Tugas Pengarah Kastam WPKL, Noraidah Ishak berkata, bagi kes pertama, dua premis gudang di Jalan Wangsa Utama, Taman Wangsa Permai di sini diserbu kira-kira pukul 12 tengah hari, 20 Mei lalu.
“Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah 4,987 liter minuman keras jenis whisky yang ditampal dengan setem cukai palsu.
“Pasukan turut menemukan peralatan dipercayai digunakan bagi kegiatan berkenaan termasuk tong berisi bancuhan kimia disyaki etanol, gulungan setem cukai kastam palsu, peralatan pembungkusan, mesin pemasang penutup botol serta pelekat label tiruan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Noraidah, jumlah nilai rampasan termasuk duti dan cukai dianggarkan berjumlah RM951,200.00.
“Sindiket terbabit dipercayai menggunakan premis gudang di kawasan tersorok dan jauh daripada penempatan penduduk bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa. Dua lelaki warga asing turut ditahan dan direman bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Noraidah berkata, pasukan operasi turut menahan sebuah kontena bersaiz 20 kaki kira-kira pukul 9 malam, 14 Mei lalu.
Katanya, kontena itu dipercayai diimport dari sebuah negara di Asia Selatan dan disyaki membawa barang larangan tanpa lesen import yang sah.
“Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah 5,449 kilogram produk tembakau kunyah yang disyaki tak berkastam.
“Nilai rampasan dianggarkan RM944,944 manakala anggaran duti dan cukai terlibat sebanyak RM677,551, menjadikan keseluruhan nilai rampasan termasuk duti dan cukai dianggarkan RM1.62 juta,” katanya.
Kes minuman keras disiasat mengikut Seksyen 74(1)(f) Akta Eksais 1976, manakala kes tembakau kunyah disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.- KOSMO! ONLINE














