PETALING JAYA – Keadaan Jalan Taman Wangi di Gua Musang, Kelantan didakwa rosak teruk sehingga menyebabkan banyak kenderaan mengalami kerosakan termasuk rim pecah dan tayar bocor sejak kebelakangan ini.
Menurut penduduk dan pengguna yang kerap melalui laluan tersebut, terdapat beberapa lubang besar dan permukaan jalan tidak rata yang sukar dilihat terutama pada waktu malam dan cuaca hujan.
“Kesian kepada pengguna, ramai pecah rim, pecah tayar. Minta pihak berwajib ambil cakna, kalau tak kesian pengguna yang melalui jalan ini terutama pada waktu air hujan bertakung dan di malam hari,” kata @Yieagrotech30.
Pengguna TikTok @Yieagrotech30 turut memuat naik beberapa keping gambar memaparkan deretan kenderaan yang mengalami kerosakan dalam satu malam terutama masalah keretakan pada rim selepas melalui jalan tersebut.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, isu kerosakan teruk di Jalan Taman Wangi bukan masalah baharu, sebaliknya sudah berlarutan sejak bertahun lamanya tanpa penyelesaian muktamad.
Katanya, jalan tersebut mengalami kitaran kerosakan yang sama apabila hanya ditampal sementara sebelum kembali rosak dalam tempoh singkat, sekali gus membahayakan keselamatan pengguna.
Beliau menambah, pelbagai usaha dilakukan termasuk mengemukakan surat kepada Timbalan Menteri berkaitan sejak Ogos lalu dan membuat susulan setiap bulan bagi mendesak tindakan segera diambil.
“Pada awal Disember, surat rasmi turut dihantar kepada Menteri Kerja Raya bagi memohon kelulusan segera lantikan kontraktor untuk membaiki jalan sementara, memandangkan kontraktor CSR asal ditamatkan. Namun, proses kelulusan mengambil masa yang terlalu lama,” katanya.
Menurutnya, kelulusan bagi kerja-kerja pembaikan dimaklumkan telah diperoleh Rabu lalu dan diharap tindakan dapat dilaksanakan segera.
“Terus terang saya letih berjuang kerana terasa seperti menumbuk angin. Yang paling menyayat hati ialah pengguna jalan raya yang terpaksa menanggung kerugian apabila tayar bocor dan rim rosak sedangkan mereka tidak bersalah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
@yieagrotech30 Minta Pihak Bwajib Ambil Cakna, Kalau x Kesian Kpd Pnguna Yg Mlalui Jln Nie.. Terutama Diwaktu Air Hujan Bertakung & DiMalam Hari.. #hati2semua #tayarmanbergerak #breakdownkualalipisguamusang #awiehusintayarman #yieagrotechtayar #servisoncall24jam #towingcarrier #keretasewa #BreakdownHwayMerapoh #husinpakmatwestern #tayarmurahguamusanglipis ♬ Comey Sunggoh – 𝑰𝒔.𝒁𝒂𝒄𝒌_𝑶𝒇𝒇𝒊𝒄𝒊𝒂𝒍














