BAGAN DATUK – Kerajaan terus memperkukuh agenda pemerkasaan institusi pendidikan Islam di negara ini apabila melancarkan Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM) yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun hadapan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembangunan SPTM mencerminkan komitmen kerajaan dalam memartabatkan pendidikan tahfiz melalui kolaboratif bersama kerajaan negeri, kementerian, agensi Persekutuan, panel pakar dan persatuan tahfiz.
“Matlamat SPTM adalah untuk memperkasa kualiti pendidikan tahfiz dan menjadi mekanisme pengiktirafan kepada huffaz dan institusi tahfiz,” katanya ketika berucap pada Himpunan Huffaz 2025 dan Simponi Dakwah Nusantara ‘Warisan Qurani, Membina Generasi Rabbani’ di Masjid Tuminah Hamidi, di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), sebagai galakan kepada budaya kecemerlangan, kerajaan mencadangkan agar 10 institusi tahfiz terbaik yang mencapai prestasi cemerlang berdasarkan kriteria SPTM diberikan insentif RM50,000 setiap satu.
Katanya, peruntukan yang disediakan oleh Jakim itu akan disalurkan mulai tahun hadapan. – KOSMO! ONLINE














