BALIK PULAU – Pasangan suami isteri berdepan detik cemas apabila mereka dilaporkan tersesat ketika melakukan aktiviti pendakian di hutan Gertak Sanggul di Bayan Lepas di sini, malam tadi.
Mangsa masing-masing berusia 30 tahun itu ditemukan dalam keadaan selamat, kira-kira pukul 8.28 malam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 7.48 malam dan kemudiannya bergegas ke lokasi.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau.
“Kita terima panggilan dari sistem NG999 berhubung dua mangsa terdiri pasangan suami isteri telah sesat di dalam hutan ketika melakukan aktiviti pendakian.
“Mangsa telah menghantar lokasi keberadaan melalui aplikasi WhatsApp dan kerja-kerja SAR dijalankan berpandukan lokasi yang diberikan,” katanya di sini, malam tadi.
Jelasnya, mangsa berjaya ditemukan pada pukul 8.21 malam tadi oleh orang awam dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mangsa kemudiannya telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.-KOSMO! ONLINE














