PETALING JAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terus ditimpa malang apabila dihukum denda keseluruhan AS$12,500 (RM51,000) oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas melanggar peraturan ketika aksi kelayakan Piala Asia menentang Nepal di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 18 November lepas
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh AFC petang tadi, Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC telah mengenakan hukuman pertama susulan kegagalan FAM sepak mula perlawanan bermula ikut masa yang ditetapkan.
Menurut AFC, perlawanan bermula lewat satu minit 20 saat bagi separuh masa pertama, manakala separuh masa kedua tertangguh selama satu minit 30 saat.
Disebabkan kesalahan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak AS$ 2,500 (RM10,192) kerana melanggar Artikel 2.2 Manual Operasi Pertandingan AFC.
Sementara itu, FAM turut didapati gagal memastikan pemain kebangsaan, Faisal Abdul Halim yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan, menghadiri sidang media selepas tamat perlawanan.
Kesalahan berkenaan menyaksikan FAM dikenakan denda lebih berat iaitu RM40,770 selepas didapati melanggar Artikel 4.3.8 yang dibaca bersama Artikel 31.3 Peraturan Pertandingan Piala Asia AFC Arab Saudi 2027.
Selain FAM, Faisal turut dikenakan denda sebanyak RM40,770 selepas didapati melanggar Artikel 31.3 peraturan sama kerana gagal menghadiri sidang media walaupun sudah diminta oleh AFC.
AFC dalam kenyataannya menegaskan semua denda berkenaan perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan dimaklumkan, selaras dengan Artikel 11.3 Kod Tatatertib dan Etika badan induk itu.














