BUKIT KAYU HITAM – Seramai 11,377 orang direkodkan masuk ke Thailand menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada musim cuti sekolah ini dalam tempoh dua hari sejak kelmarin.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, jumlah itu melibatkan seramai 4,881 orang pada kelmarin dan 6,496 orang semalam.
“Jumlah yang masuk ke Malaysia pula seramai 3,398 pada kelmarin diikuti 3,619 orang semalam. Satu Notis Penolakan Masuk dikeluarkan terhadap seorang lelaki Bangladesh pada semalam,” katanya di sini hari ini.
Katanya, jumlah bas yang melalui pemeriksaan di Kompleks ICQS di sini juga berkurangan.
Jumlah itu sekali gus menunjukkan penurunan ketara pelancong bercuti di negara jiran tersebut pada musim cuti sekolah kali ini susulan keadaan di Hatyai, Thailand yang terjejas teruk akibat banjir besar baru-baru ini.
Pada kebiasaannya, Kompleks ICQS akan mengalami kesesakan dengan kenderaan yang menuju ke Thailand setiap kali musim cuti sekolah, mahupun cuti umum dan pada 13 September lalu, seramai 17,030 orang dilaporkan berpusu-pusu ke negara jiran sempena musim cuti sekolah dan cuti umum Hari Malaysia.
Daripada jumlah itu, seramai 15,718 adalah rakyat Malaysia diikuti warga Thailand (975), Indonesia (85), China (50), India (22) dan negara lain (180).
Kosmo! hari ini melaporkan puluhan ribu rakyat Malaysia terpaksa melupakan hasrat untuk bercuti di Hatyai apabila destinasi pelancongan popular itu masih belum bersedia menerima kunjungan sepanjang musim cuti sekolah, Krismas dan sambutan tahun baharu ini.
Keadaan itu boleh dilihat daripada penurunan aliran pelancong di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar, Perlis yang semalam dilaporkan luar biasa lengang.
Tiada lagi pemandangan orang ramai berpusu-pusu masuk dan beratur panjang di kompleks ICQS tersebut, mahupun kesesakan kenderaan menghala ke negara jiran.
Keadaan sepi itu berikutan ramai menangguhkan atau membatalkan rancangan mereka kerana Hatyai belum pulih sepenuhnya akibat banjir besar baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE














