fbpx
GAMBAR-gambar yang terdapat dalam fail Epstein. - Foto AFP

Fail ‘bapa ayam’ ada kaitan pemimpin politik didedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WASHINGTON – Lebih 12 individu berprofil politik dan nama pegawai kerajaan muncul dalam ratusan ribu halaman fail ‘bapa ayam’ Jeffrey Epstein yang didedahkan kepada umum semalam, lapor portal berita Fox News.

Timbalan Peguam Negara Amerika Syarikat (AS), Todd Blanche berkata, Jabatan Kehakiman (DOJ) menemui lebih 1,200 mangsa dan ahli keluarga mereka semasa semakan menyeluruh dijalankan. 

Beliau turut menjelaskan proses penentuan fail yang boleh didedahkan dalam sepucuk surat kepada Kongres AS yang diperoleh secara eksklusif oleh saluran Fox News Digital.

Sumber memberitahu Fox News Digital bahawa gambar baharu Epstein bersama bekas Presiden Bill Clinton turut dimasukkan dalam pendedahan tersebut yang boleh diakses di laman web justice.gov/epstein. 

Clinton tidak memberikan sebarang maklum balas segera terhadap permintaan komen daripada Fox News Digital.

Gambar penyanyi terkenal Mick Jagger dan Michael Jackson yang menyertai lingkungan sosial Epstein turut berada dalam fail tersebut.

Epstein yang mempunyai hubungan dengan tokoh berpengaruh di seluruh dunia, ditemui meninggal dunia di penjara New York pada tahun 2019 ketika menunggu perbicaraan atas dakwaan pemerdagangan seks melibatkan gadis bawah umur.

Sementara itu, Jabatan Kehakiman telah menyunting dengan menutup nama dan pengenalan mangsa. 

Difahamkan bahawa piawaian suntingan yang sama turut digunakan terhadap individu berprofil politik dan pegawai kerajaan.

Bagaimanapun, Blanche memberitahu Fox News Digital dalam temu bual telefon bahawa Jabatan Kehakiman tidak menyunting nama mana-mana ahli politik.

“Satu-satunya suntingan yang dibuat ke atas dokumen ialah yang diwajibkan oleh undang-undang,” katanya kepada Fox News Digital, sambil merujuk kepada nama mangsa, kisah mangsa dan sebarang maklumat yang boleh mengenal pasti mereka. 

“Selaras dengan statut dan undang-undang berkaitan, kami tidak menyunting nama individu atau ahli politik kecuali jika mereka ialah mangsa. Tiada suntingan terhadap nama individu terkenal,” tambahnya.

Fox News Digital turut memperoleh secara eksklusif sepucuk surat yang ditulis oleh Blanche kepada ahli Dewan Perwakilan berhubung pendedahan fail yang dibuat di bawah Akta Ketelusan Fail Epstein.

“Kami menulis untuk memaklumkan bahawa Jabatan Kehakiman mengemukakan ratusan ribu halaman bahan berkaitan sebagai pematuhan kepada Akta Ketelusan Fail Epstein,” tulis Blanche.

“Di bawah kepimpinan Presiden Donald J. Trump dan Peguam Negara Pam Bondi, pendedahan yang belum pernah berlaku sebelum ini menekankan komitmen kami untuk mematuhi undang-undang, bersikap telus dan melindungi mangsa,” sambung Blanche.

Beliau menyatakan pengeluaran dokumen itu dibuat dalam tempoh 30 hari seperti yang dikehendaki oleh undang-undang yang ditandatangani oleh presiden. – AGENSI/AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI