PETALING JAYA – Kuching City mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri untuk memintas Kuala Lumpur City (KL City) selaku pasukan No. 2 Liga Super selepas menewaskan Melaka FC 4-0 dalam perlawanan di Stadium Negeri, Sarawak, sebentar tadi
Skuad The Cats tidak mempunyai masalah untuk mendahului seawal minit ketujuh hasil penyudah James Okwousa menerusi situasi set piece.
Momentum cemerlang skuad kendalian Aidil Sharin Sahak diteruskan apabila Danial Asri memastikan pasukan selesa dengan gol kedua tuan rumah pada masa kecederaan babak pertama.
Bersambung pada separuh masa kedua, Kuching City semakin ghairah untuk melakar kemenangan besar dengan kini giliran Joao Pedro mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-49 sebelum Ronald Ngah Wanja melengkapkan kemenangan bergaya dengan gol keempat (minit ke-71).
Keputusan ini menyaksikan Kuching City meraih 24 mata dikedudukan kedua dengan perbezaan satu mata dengan KL City.

Sementara itu, dua lagi perlawanan Liga Super petang tadi menyaksikan Terengganu FC (TFC) meraih kemenangan 3-2 ke atas Imigresen FC manakala Penang FC menewaskan PDRM FC dengan keputusan 3-0. – KOSMO! ONLINE














