KUALA LUMPUR – Majlis Serah Tugas Menteri Belia dan Sukan Malaysia berlangsung dengan sempurna di Bangkok sempena temasya Sukan SEA Thailand 2025 yang sedang berlangsung.
Majlis itu menyaksikan mantan Menteri, Hannah Yeoh menyerahkan tugas secara rasmi kepada Menteri baharu, Dr. Mohammed Taufiq Johari yang bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan.
Penyerahan tugas itu dianggap unik kerana berlangsung di luar negara di kala barisan atlet kebangsaan sedang menggalas nama Malaysia dalam sukan masing-masing.
Menerusi kenyataan akhbar hari ini, Hannah merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Kementerian Belia dan Sukan (KBS), agensi berkaitan serta pemegang taruh atas sokongan diberikan.
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa kepimpinan baharu mampu untuk meneruskan agenda pembangunan belia dan sukan yang telah dirintis selama ini.
Sementara itu, Taufiq menyatakan komitmen bagi memastikan kesinambungan dasar kementerian terus diperkasa, terutamanya perkara-perkara melibatkan kebajikan atlet serta sokongan kepada kontinjen negara di Sukan SEA.
Beliau turut memberi jaminan bahawa fokus terhadap pembangunan belia dan sukan akan terus diperkasa selari dengan keperluan semasa serta cabaran masa depan negara.
Terdahulu, Taufiq diumumkan sebagai Menteri Belia dan Sukan baharu menggantikan Hannah yang bertukar portfolio sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan). – KOSMO! ONLINE














