KUALA LUMPUR – Golongan remaja dan belia berusia sekitar 18 hingga 19 tahun dikenal pasti sebagai kelompok paling mudah terpedaya dengan sindiket penipuan pekerjaan di luar negara kerana lebih mempercayai rakan sendiri berbanding amaran pihak berkuasa.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kebanyakan mangsa hanya menyedari mereka ditipu selepas tiba di luar negara dan dipaksa bekerja di pusat penipuan.
“Golongan muda ini lebih percaya cakap kawan. Apabila sampai di sana, barulah mereka sedar telah ditipu.
“Berdasarkan kajian lapangan dan temu bual mangsa yang kami (MHO) kendalikan, dianggarkan kira-kira 80 peratus mangsa dibawa ke luar negara melalui rakan-rakan atau kenalan, bukan melalui media sosial secara langsung,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut beliau, modus operandi sindiket penipuan pekerjaan itu sentiasa berubah dan berkembang mengikut keadaan semasa bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Katanya, walaupun masih terdapat sindiket yang menggunakan platform media sosial seperti Facebook untuk memperdaya mangsa, kaedah tersebut kini semakin berkurangan.
“Ketika ini, teknik paling dominan ialah penggunaan ‘agen’ dalam kalangan rakan sebaya mangsa sendiri.
“Agen ini akan mempamerkan gaya hidup mewah serta peluang pekerjaan yang kelihatan meyakinkan, sekali gus menyebabkan mangsa lebih mempercayai rakan mereka berbanding nasihat dan amaran yang disampaikan melalui media,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Hishamuddin berkata kejayaan Kementerian Luar membawa pulang 20 mangsa sindiket di Myawady, Myanmar, menunjukkan usaha berterusan pelbagai pihak dalam membantu proses membawa pulang mangsa terlibat. – KOSMO! ONLINE














