APABILA memikirkan tentang penipuan, kita sering membayangkan dalang-dalang yang beroperasi dari jauh, sindiket tanpa wajah yang mengatur jenayah rentas sempadan.
Namun tersembunyi di hadapan mata, terdapat satu komponen penting yang tanpanya penipuan ini ia tidak akan berjaya iaitu akaun keldai.
Ini merujuk kepada individu yang akaun bank mereka digunakan untuk menerima, memindahkan dan menyembunyikan wang haram. Mereka bukan perancang utama jenayah tetapi amat penting kepada keberhasilan operasi tersebut.
Tanpa mereka, sindiket penipuan akan menghadapi kesukaran untuk menggerakkan wang dengan cepat, mengelakkan pengesanan, dan seterusnya memperoleh keuntungan daripada kegiatan mereka.
Apa yang membimbangkan adalah hakikat bahawa kebanyakan akaun keldai bukanlah penjenayah tegar. Mereka selalunya terdiri daripada individu biasa, suri rumah, pelajar, pekerja belia, pekerja gig, individu yang menghadapi kesempitan kewangan. Malah ada daripada golongan profesional yang terjebak dalam skim ini akibat penipuan, keperluan atau kejahilan.
Dari perspektif kriminologi, keadaan ini mencerminkan apa yang dikenali sebagai kerentanan situasi iaitu individu tanpa niat jenayah pada awalnya diletakkan dalam situasi yang memudahkan mereka dieksploitasi.
Perekrutan sering berlaku secara halus dan terancang, melalui iklan pekerjaan palsu yang menjanjikan pendapatan mudah dan tawaran kerja sambilan di media sosial, permintaan daripada kenalan, pasangan atau platform dalam talian yang menggambarkan aktiviti tersebut sebagai bantuan kewangan tidak berbahaya.
Bahasa yang digunakan sengaja mengelirukan, dengan istilah seperti ‘membantu memindahkan wang’ atau ‘mendapat komisen’ yang menyembunyikan hakikat bahawa individu tersebut sebenarnya digunakan sebagai sebahagian daripada operasi jenayah.
Dalam banyak keadaan, individu yang menjadi akaun keldai cuba merasionalisasikan penglibatan mereka.
Sindiket meyakinkan diri bahawa sekadar membantu, ia hanya sementara atau mereka tidak bertanggungjawab kerana tidak mengetahui sumber wang tersebut. Namun, undang-undang tidak menerima alasan sedemikian dengan mudah. Sikap sengaja tidak ambil tahu bukanlah satu pembelaan.
Apabila seseorang membenarkan akaunnya digunakan untuk tujuan menyalahi undang-undang, mereka sebenarnya telah menjadi sebahagian daripada rantaian kewangan yang memungkinkan jenayah tersebut berlaku.
Sindiket penipuan beroperasi sebagai perusahaan jenayah yang tersusun dan berlapis, dengan pelbagai peranan yang dimainkan oleh individu berbeza. Dalam struktur ini, akaun keldai berfungsi sebagai saluran kewangan yang kritikal.
Mereka menyediakan kerahsiaan identiti dengan menjauhkan pelaku sebenar daripada jejak wang, memudahkan pemindahan pantas sebelum pengesanan berlaku dan memecahkan jumlah wang kepada transaksi kecil supaya sukar dijejaki.
Tanpa lapisan ini, keseluruhan sistem menjadi lebih mudah dikesan dan digugat.

Implikasi undang-undang terhadap akaun keldai adalah serius, walaupun mereka menganggap diri sebagai mangsa.
Di bawah undang-undang Malaysia, individu boleh disiasat atau didakwa di bawah peruntukan berkaitan penipuan, pengubahan wang haram atau persubahatan dalam jenayah.
Sekiranya pendakwaan tidak berlaku, kesannya tetap besar dan berpanjangan. Akaun bank boleh dibekukan atau disenaraihitamkan, individu boleh ditandakan dalam sistem kewangan dan keupayaan untuk membuka akaun baharu atau mendapatkan pinjaman boleh terjejas.
Apa yang bermula sebagai keputusan kecil untuk ‘membantu’ boleh bertukar menjadi kesan jangka panjang terhadap rekod kewangan dan reputasi seseorang.
Penting juga untuk difahami bahawa perekrutan akaun keldai bukan berlaku secara rawak. Sindiket penipuan bertindak secara strategik dan terancang dalam mengenal pasti sasaran.
Sindiket menyasarkan individu yang tertekan dari segi kewangan, mereka yang mencari pendapatan segera atau kurang pendedahan terhadap risiko jenayah kewangan.
Sindiket mengeksploitasi kepercayaan, keperluan dan rasa terdesak dengan membentangkan peluang tersebut sebagai sesuatu sah dan berisiko rendah.
Ini mencerminkan perubahan dalam landskap jenayah terancang, di mana paksaan digantikan dengan proses memperdaya dan menarik individu biasa untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem jenayah tanpa mereka benar-benar memahami akibatnya.
Mesej yang perlu ditekankan, jika seseorang meminta untuk menggunakan akaun bank anda, meminta anda memindahkan wang bagi pihak mereka atau menawarkan komisen mudah untuk transaksi kewangan, tindakan paling selamat adalah menolak. Tiada perniagaan yang sah beroperasi dengan cara sedemikian.
Akaun bank bukan sekadar alat transaksi tetapi merupakan lanjutan identiti seseorang yang membawa tanggungjawab undang-undang. Apabila ia disalah guna, kesannya tidak mudah diperbetulkan.
Menangani isu ini memerlukan pendekatan kolektif. Kesedaran awam perlu diperkukuhkan dengan memberi fokus kepada bagaimana skim ini beroperasi dalam realiti.
Institusi kewangan, pengawal selia, dan agensi penguatkuasaan perlu terus memperkukuh mekanisme pemantauan dan mengekang rangkaian perekrutan.
Pada masa sama, usaha pendidikan perlu menekankan bahawa menjadi akaun keldai bukanlah kesalahan kecil atau teknikal, tetapi merupakan elemen penting yang membolehkan jenayah terancang beroperasi dan menyumbang kepada pemangsaan orang lain.
Penipuan tidak berjaya semata-mata kerana teknologi yang canggih. Ia berjaya kerana mampu merekrut manusia, individu biasa untuk menyokong operasi mereka. Janji wang mudah sering menjadi pintu masuk, tetapi akibatnya jauh lebih besar daripada keuntungan jangka pendek.
Apa yang dipertaruhkan bukan sahaja keselamatan kewangan tetapi integriti, reputasi dan kebebasan seseorang.














