JAKARTA – Penduduk sebuah kampung di Kota Ambun, wilayah Maluku terkejut apabila menemui sejumlah jenazah berselerakan di pekarangan masjid selepas kawasan itu dilanda tanah runtuh, lapor portal berita Radio Republik Indonesia.
Kejadian berlaku di Tanah Perkuburan Awam Galunggung, Desa Batu Merah, baru-baru ini.
Tanah runtuh yang berlaku disebabkan hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kubur terjejas.
Penduduk memberitahu, mereka menemui sejumlah jenazah berselerakan, dengan ada yang ditimbus serpihan, manakala sebilangan lagi dihanyutkan aliran lumpur dan tanah.
Pengurus Masjid Muhajirin, Nasir Rumra berkata, proses pemindahan telah dijalankan oleh penduduk tempatan dan pihak pengurusan masjid.
“Proses pemindahan masih dijalankan, namun ia agak sukar kerana sebahagian mayat masih tertimbus di bawah tanah runtuh,” katanya di tempat kejadian.
Rumra menambah, sekurang-kurangnya 10 kubur terjejas akibat bencana itu.
“Lima mayat berjaya ditemui dan dikenal pasti oleh keluarga, manakala lima lagi masih belum dikenal pasti,” tambahnya. – AGENSI














