SEREMBAN – Seorang remaja lelaki bawah umur yang memandu Honda Jazz secara berbahaya hingga menyebabkan tiga maut dalam kemalangan di Senawang pada Mac lalu menukar pengakuan kepada bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Lelaki berusia 17 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurul Azuin Mohd. Talhah ketika prosiding pengurusan kes hari ini.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan hukuman terhadap tertuduh akan diputuskan pada 25 Februari depan untuk penyediaan laporan akhlak dan fakta kes kerana dia merupakan pesalah muda.
Terdahulu, pesalah muda itu hadir berkerusi roda bersama peguamnya, Arif Azmi yang mewakili pihak pembelaan hari ini.
Sebelum ini, ketika didakwa pada 22 April lalu, remaja tersebut mengaku tidak bersalah dan peguam yang mewakilinya ketika itu, Johan Radzi telah mengemukakan permohonan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).-KOSMO! ONLINE














