ALOR SETAR – “Perbuatan dia (suspek) kejam, kalau setakat hukuman penjara 35 tahun itu tidak setimpal dengan apa yang dia buat. Kalau tak bahagia, kenapa tak lepaskan mama baik-baik.”
Itu luahan anak wanita yang menjadi mangsa pembunuhan kejam suaminya di sebuah flat di Jalan Tuna, Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Anak sulung mangsa, Ezlyn Ilyana Hardiha Shayrin Yezral, 26, berkata, apa yang dilakukan oleh bapa tirinya itu sangat kejam termasuk sanggup menyembunyikan jasad ibu mereka selama empat hari.
“Rasanya tidak ada hukuman yang sesuai untuknya. Sampai hati membunuh dan membiarkan mama kami terseksa berhari-hari di situ.
“Kami merestui hubungannya dengan mama bila mereka berkahwin dua tahun lalu kerana melihat dia melayan mama dengan baik. Mama pun nampak bahagia dan tidak pernah berceritakan apa-apa mengaibkan tentang suaminya itu,” katanya ketika ditemui di Masjid Lufti, Kampung Suka Menanti di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ezlyn Ilyana memberitahu, kali terakhir dia menghantar pesanan melalui WhatsApp kepada arwah pada Isnin lalu untuk bertanyakan khabar.
“Arwah mama masih pergi ke tempat kerjanya di sebuah restoran pada Ahad. Mama baru bekerja di situ pada 2 Disember lalu dan sangat seronok kerana dapat kembali bekerja selepas berhenti sejak berkahwin semula dengan suaminya itu.
“Tidak dinafikan suspek sangat cemburu kerana tidak membenarkan arwah bekerja sebelum ini. Sampai hati dia buat macam itu dekat mama kerana arwah sangat sayangkan dia,” katanya.
Adiknya, Muhammad Danial, 25, berkata, mereka terkilan kerana gagal menghalang kejadian itu berlaku kepada ibu kesayangan mereka.
“Dulu saya tinggal bersama mama dan suaminya itu sebelum berpindah kerana ingin membiarkan mereka berdua hidup bersama. Kami keluar rumah itu atas nasihat bapa kerana tidak manis adik saya yang berusia 23 tahun tinggal sekali dengan suspek.
“Kami memang tidak menyangka dia sanggup buat begitu. Sukar untuk maafkan sampai bila-bila,” katanya. – KOSMO! ONLINE














