fbpx
GAMBAR fail Bai Tianhui (duduk tengah). - Foto AFP

Bekas pengurus terima rasuah RM634 juta dijatuhi hukuman mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BEIJING – China melaksanakan hukuman mati terhadap seorang bekas eksekutif sebuah firma pengurusan aset milik negara berhubung kes rasuah pagi semalam, lapor media negara itu.

Menurut stesen televisyen CCTV, Bai Tianhui yang merupakan bekas pengurus besar China Huarong International Holdings (CHIH) didapati bersalah menerima suapan lebih AS$156 juta (RM643 juta). Dia turut menawarkan layanan istimewa dalam pemerolehan dan pembiayaan projek antara tahun 2014 hingga 2018.

CHIH adalah anak syarikat China Huarong Asset Management yang memberi tumpuan kepada pengurusan hutang lapuk sebagai salah satu dana pengurusan aset terbesar negara itu.

Tianhui menjalani hukuman mati di Tianjin selepas bertemu dengan ahli keluarga terdekat, lapor CCTV.

Namun, stesen televisyen tersebut tidak menyatakan kaedah hukuman mati yang digunakan.

Hukuman terhadapnya mula dijatuhkan pada Mei 2024 oleh sebuah mahkamah di bandar utara Tianjin.

Dia kemudian merayu terhadap sabitannya tetapi keputusan asal dikekalkan pada Februari lalu.

Mahkamah tertinggi China, Mahkamah Agung Rakyat mengesahkan keputusan tersebut selepas semakan dengan menyatakan bahawa jenayah yang dilakukan Tianhui adalah sangat serius, lapor CCTV.

“(Tianhui) menerima rasuah dalam jumlah luar biasa besarnya, keadaan jenayahnya amat serius, kesannya kepada masyarakat amat buruk dan kepentingan negara serta rakyat mengalami kerugian yang sangat besar,” kata CCTV ketika memetik kenyataan mahkamah. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN