PETALING JAYA – Orang ramai yang menerima bantuan ‘one‑off’ di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (Sara) RM100 melalui MyKad diingatkan supaya menggunakan sepenuhnya kredit tersebut sebelum tempoh sahnya berakhir.
Sejak pagi tadi, media sosial dibanjiri peringatan netizen yang meminta semua penerima terdiri daripada warganegara dewasa berusia 18 tahun untuk menyemak baki kredit mereka agar dimanfaatkan sepenuhnya.
“Korang dah habis guna ke duit dalam IC tu? Tinggal berapa hari je lagi nak expired (tamat tempoh). Tak bawa ke tahun depan tau,” kata Zeila dalam satu hantaran di TikTok.
“Ada RM1, ada idea tak nak bli apa?,” kata @Portgas D Mie.
Sementara itu, ada juga pengguna, Humairah berkata, dia hampir terlupa dengan bantuan RM100 tersebut dan masih mempunyai RM100 di dalam MyKad.
“Masih ada RM100. Sumpah terlupa. Dulu fikir nak guna bila duit gaji tak cukup hujung bulan, tup tup (akhirnya) dah dekat nak habis tahun,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, bantuan tersebut hanya boleh digunakan untuk membeli lebih 90,000 barangan keperluan dalam 14 kategori, termasuk beras, telur, roti, produk kebersihan rumah, ubat-ubatan serta keperluan persekolahan di lebih 4,100 premis terpilih.
Kata Anwar, bantuan ini tidak boleh dipindah milik dan kredit RM100 sah hingga 31 Disember 2025 serta jika tidak digunakan, ia akan luput manakala baki akan diagih semula kepada golongan rentan melalui program lanjutan. – KOSMO! ONLINE














