KUALA LUMPUR – Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dilaporkan trauma selepas menjadi mangsa cabul oleh bapa kandungnya dalam kejadian di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini.
Difahamkan, remaja itu menceritakan pengalaman hitam yang dilaluinya kepada seorang guru semalam sebelum dibawa ke balai polis bagi membuat laporan supaya kejadian sama tidak berulang.
Mangsa mendakwa perbuatan keji itu berlaku sejak berusia 12 tahun.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada pukul 10.30 pagi, semalam.
“Kes ini telah dirujuk dan disiasat oleh Unit D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut. Suspek juga telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini. – KOSMO! ONLINE














