KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini tidak membincangkan mengenai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag susulan pemergian Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi berkata, pemimpin parti ketika ini masih bersedih dengan pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan tersebut.
“Kita tidak bincang apa-apa berkaitan Sabah, cuma sebelum mesyuarat bermula, kami ada mengadakan tahlil untuk arwah.
“Perasaan sekarang sangat bercampur baur, sebab setiap kali mesyuarat politik arwah akan berada di sebelah saya. Mungkin perlu beri sedikit masa kepada kami,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat MKT di Menara Datuk Onn, di sini malam ini.
Terdahulu, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, Bung Moktar berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti sebanyak 153 undi.
Allahyarham Bung Moktar, 66, meninggal dunia kurang seminggu selepas dipilih sebagai ADUN Lamag untuk penggal kedua. – KOSMO! ONLINE














