PETALING JAYA – Bersempena musim cuti hujung tahun yang mendorong ramai rakyat bercuti ke luar negara, telah memberi peluang kepada Merchantrade Asia untuk membantu memaksimumkan penjimatan perbelanjaan pelanggan dengan tawaran tiga peratus pulangan tunai tanpa had untuk semua pembelian luar negara yang dibuat menggunakan Kad Prabayar Visa Merchantrade Money.
Menurut kenyataan, tawaran yang akan berakhir pada 31 Disember ini akan memberikan lebih nilai kepada pelancong ketika menempah tiket penerbangan, penginapan hotel, membeli-belah dan lain-lain perbelanjaan berkaitan.
Di samping itu, pengguna baharu yang mendaftar juga akan menikmati ganjaran RM10 dengan memasukkan kod promosi yang boleh didapati di saluran media sosial Merchantrade.
“Pulangan tunai tanpa had ini amat menguntungkan terutamanya untuk perbelanjaan besar seperti tiket penerbangan dan penginapan hotel, di mana pengguna boleh menikmati penjimatan yang bermakna dengan setiap transaksi.
“Kad prabayar pelbagai mata wang Merchantrade Money membantu pengembara menguruskan perbelanjaan mereka dengan lebih yakin,” katanya.

Jelas syarikat, melalui aplikasi, pengguna boleh menukar mata wang pada kadar masa nyata yang dipaparkan, tanpa sebarang yuran pertukaran serta menikmati kadar terkunci (kadar tidak berubah selepas ditukar), walaupun selepas beberapa minggu atau bulan kemudian.
“Pengguna juga boleh menukar serendah 10 sen, membolehkan mereka merancang bajet secara berperingkat tanpa perlu menukar jumlah yang besar sekali gus.
“Kad ini menyokong pembayaran tanpa sentuh yang selamat serta memberikan notifikasi transaksi masa nyata, membantu pengembara memantau perbelanjaan mereka di luar negara dengan lebih mudah dengan menawarkan kaedah yang mudah dan selamat untuk menguruskan kos perjalanan,” ujarnya.
Melangkah ke hadapan, Merchantrade Asia menjangkakan pasaran pembayaran rentas sempadan di Asia Tenggara akan terus berkembang pesat, disokong oleh peningkatan kekerapan perjalanan, peluasan laluan syarikat penerbangan kos rendah dan pertumbuhan penggunaan dompet digital.
Pasaran e-dagang Asia Tenggara dijangka mencecah AS$325 bilion menjelang 2028, didorong oleh penggunaan pesat pembayaran digital serta kesalinghubungan serantau yang membuka lebih banyak peluang perdagangan rentas sempadan untuk perniagaan.
Merchantrade turut menjangkakan penyelesaian tanpa sentuh dan berasaskan kad merentas sempadan akan berkembang lebih pantas apabila pengembara memilih perancangan perjalanan kendiri berbanding pakej pelancongan tradisional.
Perubahan ini meletakkan kad prabayar dengan fungsi pelbagai mata wang antara kategori pembayaran paling penting dan cepat berkembang dalam kalangan rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara pada tahun yang akan datang. -KOSMO! ONLINE














