JAKARTA – Sekumpulan pemuda di Limapuluh Kota, wilayah Sumatera Barat menerima kecaman orang ramai apabila mengadakan pesta muzik ketika orang ramai masih terkesan dengan banjir dan tanah runtuh yang melanda wilayah itu, lapor portal berita Terkenal.
Acara itu berlangsung selama dua malam berturut-turut di Nagari Galugua bermula pada 29 November lalu.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @ntvnews.id menunjukkan beberapa wanita berjoget di atas pentas bersama seorang deejay yang berpakaian seksi.
Penduduk tempatan memberitahu bahawa acara itu berlangsung sehingga subuh.
Ramai pengguna media sosial menyifatkan penganjur pesta itu tidak mempunyai empati terhadap ribuan penduduk di wilayah itu yang terjejas.
“Ini melampau. Orang lain terkesan tetapi dia (penganjur) mengadakan pesta. Di mana hatinya?” kata seorang netizen. – AGENSI














