MELAKA – Seorang pemuda maut selepas motosikal yang ditunggang dihempap pokok tumbang di Jalan Tun Razak–Ayer Keroh, berhadapan Pangsapuri Polis Temenggung di Taman Sentosa di sini, petang tadi.
Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, mangsa yang berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi. Kejadian turut membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.
Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital menggunakan van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS).
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 2.30 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh dikerahkan ke lokasi.
“Pokok tumbang itu menutup keseluruhan jalan menghala ke Ayer Keroh. Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang terperangkap dan melakukan kerja-kerja pembersihan di lokasi. Mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut,” katanya.-KOSMO! ONLINE














