KOTA TINGGI – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandu terbabas akibat terkena serangan jantung di Kilometer 5.1, Jalan Kota Tinggi – Kluang (Jalan Tun Habab) berhampiran Hotel Myres awal pagi tadi.
Mangsa maut Muhamad Aidil Mahmud, 47, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian hanya kira-kira 100 meter dari Hospital Kota Tinggi (HKT).
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihak polis menerima maklumat kejadian itu kira-kira pukul 2.45 pagi melibatkan sebuah Proton Saga dipandu mangsa dan turut dinaiki isterinya.
”Siasatan awal mendapati pemandu kereta terbabit disyaki mengalami serangan jantung secara tiba-tiba ketika sedang memandu lalu menyebabkan kenderaan dipandunya terbabas.
”Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dan dibawa ke unit forensik HKT.
“Penumpang hadapan yang mengalami kecederaan di kepala turut dirujuk ke HKT untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka serta sentiasa mematuhi peraturan jalan raya demi menjaga keselamatan bersama.














