KLANG – Air larut resapan yang dipercayai keluar dari sebuah bekas tapak pembuangan sampah dikesan menyebabkan aliran hitam kira-kira satu kilometer di Sungai Serdang, Kapar di sini semalam.
LUAS dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada pukul 2.45 petang sebelum menjejaki laluan aliran itu ke bahagian hulu menggunakan dron bagi mengenal pasti punca.
Katanya, hasil semakan menemukan aliran hitam keluar dari bekas tapak pembuangan sampah berkenaan yang dikhuatiri terbentuk daripada air larut resapan.
“Berdasarkan semakan maklumat menunjukkan tapak pembuangan itu telah ditutup sejak dua tahun lalu oleh agensi berkaitan.
“Tiada pembuangan sampah baharu direkodkan dan laluan ke tapak berkenaan juga telah ditutup menggunakan batu konkrit,” katanya hari ini.
Menurut LUAS, cuaca hujan berterusan sejak minggu lalu berkemungkinan menyebabkan aliran hitam berkenaan dari tapak tersebut.
Tiada Loji Rawatan Air (LRA) berada di sepanjang aliran sungai terlibat.
“Pasukan LUAS sudah mengambil sampel kualiti air dan menghantarnya ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis lanjut.
“LUAS juga telah berkomunikasi dengan pihak PBT dan agensi berkaitan berhubung insiden ini khususnya melibatkan tapak pembuangan sampah untuk tindakan selaras dengan bidang kuasa agensi,” katanya.
Pemantauan susulan akan dilakukan oleh LUAS bagi memastikan insiden tersebut tidak berulang. – KOSMO! ONLINE














