fbpx
Anwar

‘Di pejabat saya sendiri pun tidak terlepas daripada tindakan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tiada mana-mana individu termasuk pegawai di Pejabat Perdana Menteri akan terlepas daripada tindakan sekiranya didapati melanggar undang-undang atau mencemarkan integriti.

Anwar berkata, ini kerana integriti institusi bukan sekadar bertindak, tetapi cara untuk bertindak juga harus diteliti.

“Dan sekiranya dipersoal, dipertikai, dihebahkan, beri jawapan dan kalau kebetulan ada anggota kita yang tersalah langkah, kalau ringan memang tindakan disiplin biasa.

“Kalau terlanjur besar mesti, ada kesediaan dari badan-badan penguatkuasa untuk bertindak terhadap anggota kita sendiri baru boleh selamat negara ini.

“Bayangkan pejabat saya, kalau ada, saya beritahu Azam (Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki), saya tidak lindungi sesiapa, jadi terus ambil tindakan. Kalau di pejabat saya sendiri tidak terlepas daripada tindakan, mengapa tidak boleh dari pejabat KSN (Ketua Setiausaha Negara) umpamanya, malah pejabat Peguam Negara atau pejabat Tan Sri Azam, ia tidak terlepas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar turut memberi penghargaan kepada agensi penguat kuasa dalam memecahkan ‘tembok’ kartel di negara ini.

Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan akan terus mengamalkan pendekatan terbuka, mendengar teguran dan keluhan rakyat, termasuk menerima gesaan supaya semua tindakan penguatkuasaan mesti mematuhi proses undang-undang sepenuhnya.

“Sebut pada saya mana negara yang dalam masa singkat, boleh memecahkan tembok-tembok kartel, boleh memecahkan penyeludup. Selesai? Belum selesai, tapi permulaan yang besar.

“Jadi, saya salute kepada semua badan-badan penguatkuasaan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) dan lain-lain yang saya sebutkan tadi. Saya ucap terima kasih bagi pihak seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN