BANGKOK – Kerajaan bersetuju membayar pampasan sebanyak dua juta baht (RM267,000) kepada waris mangsa yang meninggal dunia akibat banjir di tujuh lagi negeri di Selatan Thailand, lapor portal berita Thai PBS World semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Paradorn Prissananantakul berkata, terdapat kira-kira 40 orang yang lemas atau meninggal dunia akibat sebab berkaitan banjir di negeri-negeri selain Songkhla yang menempatkan bandar peranginan Hatyai.
Beliau berkata, pampasan telah pun diberikan kepada sejumlah keluarga selepas 140 mangsa meninggal terutamanya di Hatyai.
Wang untuk pampasan itu diperoleh daripada Dana Pusat dan Dana Bantuan Mangsa Bencana Awam.
Pada awalnya, kerajaan Thai hanya merancang untuk memberikan pampasan kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia di Hatyai iaitu lokasi paling teruk terjejas akibat banjir, baru-baru ini.
Bagaimanapun, rancangan itu dikritik teruk kerana dianggap tidak adil, memandangkan kematian akibat banjir turut berlaku di negeri-negeri lain di selatan Thailand.
Sementara itu, Jabatan Pencegahan dan Pengurangan Bencana Awam melaporkan kelmarin bahawa paras air banjir di lapan negeri di selatan negara itu beransur surut. – AGENSI














