fbpx
Gambar hiasan

Mesin pengimbas lama di pintu masuk negara diganti teknologi baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mesin-mesin pengimbas lama atau yang telah rosak di pintu masuk negara akan digantikan dengan model baharu yang lebih berteknologi tinggi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan melaksanakan penilaian secara mendalam ke atas keperluan tersebut.

“Kerajaan amat prihatin terhadap isu penggunaan mesin pengimbas di pintu-pintu masuk negara. Mesin pengimbas antara komponen utama dalam penguatkuasaan kawalan sempadan.

“Ia berfungsi sebagai lapisan pertahanan hadapan bagi mencegah aktiviti penyeludupan manusia, dadah, senjata dan barangan larangan lain yang mengancam keselamatan negara,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) berhubung rancangan untuk menukar mesin pengimbas yang rosak di pintu masuk sempadan negara.

Saifuddin Nasution berkata, penilaian akan tertumpu kepada aspek teknikal kos penyelenggaraan jangka panjang, keberkesanan operasi, sokongan selepas jualan serta kesesuaian dengan ekosistem pintu masuk Malaysia.

Menurut beliau, antara teknologi baharu perlu dikaji termasuk sistem pengimejan berbantukan ‘AI-assisted imaging’ yang boleh menganalisis imej pengimbasan secara automatik dan memberi amaran kepada pegawai penguat kuasa.

Kata beliau, teknologi baharu tersebut juga ‘high-energy scanners’ untuk pemeriksaan kargo bersaiz besar dengan tahap ketepatan tinggi serta mampu mengesan bahan radioaktif atau nuklear yang cuba diseludup masuk.

“Penilaian ke atas mesin pengimbas ini akan melibatkan pasukan teknikal daripada pelbagai agensi termasuk JKDM, Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Tenaga Atom (JTA) serta agensi keselamatan lain.

“Pendekatan bersepadu ini akan memastikan mesin pengimbas yang dipilih kelak bukan sahaja berteknologi tinggi tetapi juga selamat, sesuai digunakan dalam konteks negara kita, serta menjimatkan kos dalam jangka panjang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI