LEEDS – Pengendali Leeds United, Daniel Farke akhirnya menarik nafas lega apabila menemui formula baharu untuk kembali berada di landasan kemenangan selepas menewaskan Chelsea 3-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.
Pada perlawanan itu, Leeds yang tewas empat perlawanan berturut-turut dalam aksi liga sebelum ini berjaya mempamerkan corak permainan agresif untuk menafikan hasrat pelawat dalam misi meraih tiga mata berharga.
Menurut Farke, keputusan itu cukup penting untuk menaikkan motivasi selepas keluar daripada zon penyingkiran dan kini berazam untuk mengejutkan satu lagi pasukan gergasi, Liverpool pada aksi minggu ini.
“Saya tidak mahu memberi tekanan kepada pemain tetapi saya harap dapat tengok prinsip yang sama dibawa ke atas padang (ketika menentang Liverpool). Pemain perlu bijak dalam menyesuaikan diri dengan apa saja situasi.
“Apa yang pasti, saya gembira apabila bermain mempamerkan semangat juang tinggi untuk memastikan pasukan kembali berada dalam landasan kemenangan. Saya teruja melihat Elland Road kembali bergema,” katanya. – AGENSI














